Monday 11 July 2011

Tidak mustahil BERSIH 3.0

SEBERANG JAYA, 12 Julai: "Umno dan pihak keselamatan boleh rosakan kepala lutut saya tetapi mereka tidak sekali-kali berjaya merosakan pemikiran saya untuk terus berjuang sehingga matlamat memartabatkan kembali maruah negara yang telah musnah akibat permainan jahat Barisan Nasional (BN)," kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar) di hadapan puluhan ribu rakyat Pulau Pinang di Tapak Ekspo, Seberang Jaya, malam tadi. 



Beliau yang datang dengan kerusi roda akibat rempuhan kereta polis ketika membonceng motosikal untuk ke Masjid Negara pada 9 Julai lalu turut mengingatkan pihak keselamatan supaya segera mengubah sikap menjadi lebih profesional tidak mengikut telunjuk BN yang memerintah.

Katanya, Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0 tidak akan berhenti di situ malahan berjanji akan mengadakan lagi sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) serta kerajaan tidak memperdulikan lapan tuntutan untuk memperbaiki sistem pilihan raya di negara ini.

Tambahnya, seperti mana kata Presiden PAS, Bersih 2.0 merupakan 'mukadimah' kebangkitan rakyat dan seandainya SPR dan Kerajaan Malaysia masih berdegil, tidak mustahil Bersih 3.0 akan bangkit dengan lebih ramai rakyat yang rela bersama ke Kuala Lumpur berarak secara aman.

"Kali ni Najib rasa tertekan maka disuruhnya pihak polis bertindak. Akhirnya polis juga yang kena marah.
“Bagi menghilangkan perasaan yang bergelora Najib terus tinggalkan Malaysia buat seketika," jelasnya sambil melaungkan ‘Najib penipu’ beberapa kali semasa berucap.

Justeru, beliau mengingatkan rakyat supaya sedar polis bertindak berdasarkan arahan Najib yang tidak senang dengan kemaraan Pakatan Rakyat. Ini, katanya kerana anak muda secara terang-terangan memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Pakatan Rakyat sejak berkuasa di lima buah negeri selepas pilihan raya umum ke-12 lalu.

Tambahnya lagi, kehadiran kaum Tionghua dan India ke himpunan Bersih 2.0 cukup membimbangkan pemimpin kerajaan Malaysia berbanding Bersih pertama dahulu.
Jelasnya, paling membingungkan pemimpin Umno BN adalah masih ramai lagi rakyat yang keluar bersama Bersih 2.0 walhal semua jalan ditutup dan sekatan dikenakan.

Tambahnya, ini tentunya ada yang tidak kena terhadap arahan tersebut atau rakyat sudah cerdik datang awal memasuki Kuala Lumpur secara diam-diam semata-mata menjayakan Bersih 2.0.
"Saya pun hairan di mana munculnya ratusan ribu manusia bersedia berhimpun secara aman sedangkan berbagai sekatan dikenakan.

“Saya ucapkan syabas kepada anak-anak murid yang sanggup mengepalai kumpulan besar dan kecil sehingga mencapai matlamat sebab semua kepimpinan PAS, KeAdiLan dan badan Bukan Kerajaan (NGO) ditangkap lebih awal," tegasnya pada program anjuran Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu.
Pemidato utama yang berucap pada majlis pertama kali diadakan selepas himpunan Bersih 2.0 itu ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sumber : Harakah Daily 12/7/2011
 

No comments:

Post a Comment