Sunday, 31 July 2011

SELAMAT MENYAMBUT PUASA RAMADHAN


Bulan Ramadhan bulan berganda. Setiap apa saja yang dilakukan akan mendapat balasan berganda. Malahan nafsu kita juga turut berganda walaupun pada bulan ini syaitan dirantai oleh Allah. Ini adalah kerana nafsu telah bertapak di hati dan bermaharajalela.

Saudara-saudari,

Apabila kita membuat kesilapan kita sering menyalahkan syaitan dan iblis yang menggoda kita. Tetapi mengapakah kesilapan yang sama turut berlaku dalam bulan Ramadhan? Adakah rantai-rantai yang membelit kaki-kaki syaitan itu terlalu panjang hingga dapat memberi 'petunjuk' kepada kita?

Sabda Rasulullah saw.:
"Apabila datang bulan Ramadhan, dibukakan pintu langit dan ditutup pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan."

Semoga dengan keberkatan Ramadhan ini kita akan dapat menggilap kembali hati kita yang pudar dan melumpuhkan nafsu-nafsu hitam yang bertahta di hati kita selama ini. Oleh itu, inilah masa yang perlu digunakan sebaik mungkin untuk mendidik kembali nafsu kita yang selama ini dikongkong oleh syaitan. Berpuasa bukanlah sekadar berlapar semata-mata. Tetapi puasa adalah berlapar di samping mendidik nafsu dan peribadi manusia. Ini adalah jihad yang maha besar yang perlu dihadapi oleh setiap  umat Islam.

Nabi Muhammad saw pernah bersabda:
"Berjihadlah kamu dengan lapar dan dahaga kerana pahalanya seperti pahala mujahid di jalan Allah (fi sabilillah) dan sesungguhnya tiada amalan yang lebih diperkenankan oleh Allah selain menahan lapar dan dahaga"

Saudara-saudari,

Bulan Ramadhan ini adalah anugerah Allah sebagai lambang kasih sayang kepada hamba-hamba Nya. Allah tidak mensia-siakan keletihan umatnya yang berpuasa hinggakan tidur di waktu siang juga diberikan pahala. Begitu besarnya kasih sayang Allah pada kita. Oleh itu marilah bersama-sama kita menilai diri kita. Semoga tahun ini amalan kita akan semakin bertambah dan sempurna perlaksanaannya. Insya Allah. Janganlah kita termasuk dalam golongan yang menganiayai diri
sendiri.

Sabda Rasulullah saw:
"Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan nescaya diampunkan segala dosa-dosanya yang lalu."

Wassalam...

Wednesday, 27 July 2011

Sertai BERSIH 2.0 punca Ustaz Zamri dipecat TV9

Gara-gara menyertai perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lepas, hos rancangan 'Adik & Al-Quran' menerima notis pecat 24 jam dari rangkaian televisyen Media Prima yang dimiliki Umno.

Ustaz Zamri dipecat semata-mata kerana gambarnya menyertai perhimpunan Bersih 2.0 didedah oleh beberapa blogger Umno.
Pemecatan beliau turut disahkan oleh penerbit eksekutif TV9, Ezzah Aziz Fawzy.


Ezzah mendedahkan, pihak atasan Prime Works bertanggungjawab mengarahkan pemecatan Ustaz Zamri serta menghentikan program berkenaan serta-merta atas sebab tertentu.

"Pihak produksi telah dimaklumkan mengenai perkara ini. Makluman dalam bentuk arahan ini sudah pasti ada sebab yang kukuh mengapa ia tidak dapat diteruskan, cuma ia tidak boleh diuar-uarkan kepada umum.



"Program Adik & al Quran sebelum ini mendapat sambutan menggalakkan antara program yang mendapat rating tertinggi di kalangan penonton, tetapi stesen TV lebih mementingkan isu sensitiviti dan perlu memberi penekanan kepadanya," katanya dipetik dari Sinar Harian, semalam.

Perkembangan terbaru itu dijangka bakal mencalar imej TV9 sebagaimana yang diperlihatkan rakyat ke atas saluran TV3 sebelum ini.

TAHNIAH TV 9 !! kalian mmg terbaekk...program ilmu dibuang, hiburan pulak diutamakan....dunia akhir zaman....ahli ugama di ketepikan, artis diagung-agungkan.....

(Rakyat Marhaen.blogspot)

Sunday, 24 July 2011

Apa yang jadi pada akaun facebook kita selepas kita mati?



mari kita renung-renungkan bersama
fikir-fikirkan bersama
jika satu hari nanti kita mati,
akaun facebook ini hanya kita yang tahu password
hanya kita yang boleh access..

dan

selepas kita mati..
apa yang jadi pada akaun fb kita?
mungkin ada yang akan ucapkan takziah
mungkin ada yang selalu menjenguk bagi mengubat rindu
tetapi..

sedarkah kita
gambar-gambar kita..
akan terus membuatkan kita terseksa di alam kubur?
gambar-gambar yang tidak ditutupi aurat dengan sempurna
macam mana nanti?

lelaki ajnabi terus-terusan tengok
dalam masa yang sama, tiada siapa yang boleh deletekan gambar kita..
walau sudah bertahun-tahun kita mati, gambar itu terus ada..
saham dosa terus meningkat..

macam mana?
pernah terfikir tak?
tudung singkat yang dipakai tu, akan selamatkan kita dalam kubur nanti?
legging dan jeans ketat, boleh selamatkan kita?
baju yang membalut aurat itu, bagaimana?

mungkin kini
kita masih merasa tak sabar nak berkongsi cerita dengan gambar-gambar yang cantik
tempat-tempat yang kita dah lawati di muka bumiNya
tapi di akhirnya nanti..

semua itu tidak akan membawa erti
semuanya hanya tinggal kenangan bagi yang masih hidup
di alam kubur, semua itu tidak sedikit pun boleh menyelamatkan kita
cuba kita renung-renungkan,

saham dosa yang terus meningkat walau setelah ketiadaan kita di muka bumi sehingga hari akhirat
tutupilah auratmu sebelum auratmu ditutupkan
peliharalah dirimu sebelum dirimu dikapankan~

jagalah maruah diri sebagai seorang muslimah
mati itu pasti

persiapkan diri untuk mati itu perlu
moga Allah redha dengan perkongsian ini
amin~

renung-renungkan da selamat beramal
●●●●⊱●●⊱●●⊱Sebar-sebarkan Semoga Bermanfaat ●●⊰●●⊰●●●●
sumber : layar minda

Kenapa hendak membazir kalau boleh guna dakwat kekal? Kerana projek juta-juta untuk kroni

 
 
SHAH ALAM 24 JULAI : Jika ada yang lebih mudah dan murah mengapa perlu memperuntukkan kos yang tinggi walaupun kesannya boleh dipertikai.
 
Itu persoalan yang dibangkitkan oleh Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Urusan Ekonomi (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan ekoran tindakan kerajaan bersetuju memberi peruntukan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi tujuan mewujudkan sistem biometrik dalam pilihan raya di negara ini.

" Ada cara yang lebih mudah untuk menyelesaikan masalah tetapi kita pula mencari jalan yang rumit dan amat mahal.

" Saya pun tidak faham kenapa bila kita ada yang lebih murah dan lebuh mudah iaitu pakai dakwat kekal, yang jauh lebih murah daripada biometrik, kita hendak guna teknologi yang harganya berkali ganda dan kesannya masih boleh dipertikaikan,"katanya kepada Tv Selangor.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan bahawa kerajaan akan memperuntukkan sejumlah dana bagi membiayai sistem biometrik yang mungkin dilaksanakan pada pilihan raya umum ke-13.

Namun seperti mahu menyindir tuntutan rakyat dan gagasan pembangkang yang mendokong perjuangan Bersih 2.0 menuntut pilihan raya adil dan bersih dilaksanakan di negara ini, Najib mendakwa Malaysia terpaksa mendahului negara maju dalam menyediakan sistem ini untuk kepuasan rakyat.

"Kalau nak buat penambahbaikan kita akan buat. Kita akan buat yang terbaik(menggunakan biometrik bagi memastikan pilihan raya yang adil dan bersih)walaupun negara-negara maju pun tak buat," Najib dipetik sebagai berkata.

Malah Najib juga mendakwa bahawa Pakatan Rakyat sengaja membangkitkan isu pilihan raya yang bersih di negara ini ekoran kekalahan parti itu dalam beberapa pilihan raya kecil mutakhir ini di tangan kerajaan.

"Di peringkat nasional, kita (Barisan Nasional-BN) ada masa dapat undi banyak ada masa undi sikit. Tetapi majoriti masih di tangan kita. Kalau kita boleh jamin kita boleh menang, takdelah menteri kalah (pilihan raya) dan ada negeri kalah," katanya lagi.

Hakikatnya menurut Wan Saiful, tuntutan untuk sebuah pilihan raya yang adil bukanlah satu perkara baru. Malah ia adalah tuntutan tidak berkesudahan rakyat yang terus dinafikan sehingga ke hari ini.

" Saya rasa ada manfaat jelas kepada kerajaan kalau mereka mendakwa isu ini baru ditimbulkan supaya kita terlupa bahawa isu ini telah lama ditimbulkan pada awal 90-an dan mungkin awal daripada itu. Malah ketika Umno dibubarkan dulu pun, ia berpunca daripada sistem pengundian,"tegas Wan Saiful.
" Tapi saya boleh faham sekiranya saya berada di dalam kasut ahli-ahli politik di sebelah pemerintah sekarang, pasti yang saya hendak buat ialah mendakwa ini perkara yang sengaja ditimbulkan oleh pembangkang. Saya akan kata pembangkang cuba mengeksploitasi perkara yang ditimbulkan,"katanya lagi.

Kenyataan Najib itu senada dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang selama ini bermati-matian mendakwa mereka sebagai badan bebas dan telus dalam menjalankan tanggungjawab walaupun terdapat bukti berlakunya masalah seperti pengundi hantu, rasuah berleluasa dan sebagainya.

Tambah menghairankan, apabila sebuah agensi yang mendakwa mereka menjalankan amanah dengan baik menolak apabila rakyat memberi cadangan penambahbaikan seperti yang diutarakan oleh gabungan 62 badan bukan kerajaan dalam Bersih.

Sebaliknya SPR melabelkan pembangkang dan Bersih 2.0 mempunyai agenda tertentu di sebalik tuntutan yang dibuat.

Thursday, 14 July 2011

Gara-Gara BERSIH 2.0 - Pemimpin pelajar di Mesir dibuang Kursus !!

Mendengar perkhabaran seorang sahabat di'mafsul'kan (dibuang) pelajarannya menyebabkan darah menyelirat dalam badan.

Ya Allah,besar sungguh dugaanMU pada dia. asbabnya hanyalah kerana memimpin pelajar bagi menyuarakan pendapat dan suara rakyat Malaysia di Mesir. Khususnya yang membabitkan tandatangan dan bukannya perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 julai baru-baru ini.

Al-Fadhil Ustaz Firdaus Bin Mazlan ( gambar )atau lebih senang dengan gelaran Alang, telah mendapat khabar berita dari syeikhnya(guru) bahawa pihak darul ifta'(kursus mufti) telah menerima surat dari KERAJAAN MALAYSIA bagi membuang beliau daripada kursus mufti yang sudah diikuti semenjak 3 tahun yang lalu.

Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk menyambut haflah(grad) dari kursus tersebut,hari ini beliau menerima perkhabaran yang amat berat untuk diterima. Rata-rata sahabat-sahabat di sini menumpang kesedihan atas kezaliman dan kekejaman yang berlaku.

Hanya kerana BERSIH, beliau diberhentikan pengajian...dimanakah hak kami untuk menyuarakan pendapat? saya yakin,ini adalah permulaan bagi tindakan yang dikenakan kepada pelajar2 di sini, di sana banyak lagi ugutan-ugutan dan kecaman dari pelbagai pihak berkenaan penglibatan kami,warga Malaysia di Mesir ni dengan BERSIH.

Nampaknya ini satu kejayaan buat BERSIH dan ianya satu 'signal' Kerajaan Malaysia amat takut akan suara syabab Malaysia di timur tengah khususnya Mesir ini, tidak hairanlah pelbagai usaha dilakukan dan pelbagai momokan diberi kepada kami sebagai langkah untuk menyekat kehadiran pelajar-pelajar baru ke mesir.

Moga Alang tabah dan ingatlah,anda tidak keseorangan dan beribu2 menanti untuk menuntut keadilan!

Takbir!

Credit to : permataperjuangan.blogspot

Wednesday, 13 July 2011

Jadikan pembunuhan Baharudin sebagai “Beng Hock Melayu”

Seperti dijangkakan, media dayus perdana cengkaman Umno hari ini terus menurut telunjuk pemimpinnya memburukkan himpunan rakyat Bersih 2.0 semalam. Tiada tanda kerajaan serik atau sedar dengan tuntutan asal rakyat.

Malah media yang dianggap “kitab suci” oleh pakcik dan makcik di kampung itu, melebihkan kerugian peniaga dan kesesakan lalu lintas (akibat tindakan polis sendiri) daripada kehilangan nyawa seorang Melayu beragama Islam.

Semua media ternakan Umno menyembunyikan kematian seorang peserta himpunan aman yang terbunuh akibat ditembak gas pemedih mata polis.

Allahyarham Baharudin Ahmad, 56, dari Kelompok Camar, Ampang Ulu Klang meninggal dunia selepas pengsan di perkarangan KLCC dan disahkan meninggal di HKL, akibat keganasan pihak berkuasa dalam himpunan Bersih di ibu negara.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi yang menghadiri persidangan anggota Parlimen Islam Antarabangsa di Langkawi pagi ini, patut dedahkan perkara ini supaya seluruh dunia tahu sampah yang ingin “disapu ke bawah karpet” oleh Umno ini.

Ada sahabat berpesan, supaya menulis: jadilanlah kematian Baharudin sebagaimana orang Cina menerima kematian Teoh Beng Hock dulu.

Selepas kematian Beng Hock, undi orang Cina sentiasa tidak menyebelahi BN hingga kini. Bagi orang Cina, kehilangan satu nyawa bangsa mereka boleh menukar kerajaan!

Dari segi ini, orang Melayu “sejuk” sikit.

Semoga kematian Baharudin mencelikkan mata orang-orang Melayu dan bangun sebagaimana reformasi 1998.

Kenyataan Abdul Hadi perhimpunan 9 Julai hanya satu permulaan, juga amat disokong. Jika boleh selepas ini kembangkan gerakan himpunan Bersih menuntut keadilan pilihan raya ke tiap-tiap ibu negeri!


credit to : selamatkanpahang.blogspot.com

Bersih 2.0 bukti rakyat Malaysia akrab




KOTA BHARU, 13 Julai: Himpunan aman Bersih 2.0 yang diadakan di ibu negara Sabtu lalu membuktikan satu demonstrasi yang dilakukan oleh rakyat negara ini dengan melibatkan pelbagai kaum.
Persahabatan dan silaturrahim yang ditonjolkan oleh pelbagai kaum membuktikan rakyat negara ini secara umumnya inginkan satu proses pilihan raya yang bersih dari pelbagai sudut.

Menurut Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, rakyat negara ini boleh melihat gambar-gambar yang tersebar luas menunjukkan ada orang India yang rebah kerana sesak nafas dibantu oleh budak Melayu yang berkopiah, ada orang Melayu yang rebah, ada budak Cina yang datang membantu yang membuktikan pelbagai kaum bersatu dalam demonstrasi Bersih 2.0.

“Saya rasa ia sangat bermakna dan ini membuktikan rakyat Malaysia boleh hidup aman damai dan bersatu sekiranya pemerintah dapat melaksanakan dasar-dasar yang boleh menimbulkan perpaduan di kalangan rakyat,” ujar beliau ketika ditemui di majlis Mesyuarat Agung Gabungan Persatuan Pemandu-Pemandu Kereta Sewa Kelantan Barat di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kelantan, JKR 10, malam tadi.
Husam juga berkata demontrasi aman Bersih 2.0 kali ini amat memberangsangkan kerana melibatkan rakyat Malaysia di seluruh dunia seperti di Australia, Mesir, England, Kanada, Taiwan dan banyak lagi bandaraya dunia luar.



“Isu yang dibawa oleh Bersih 2.0 ini adalah isu yang valid dan yang betul wujud dan dikehendak oleh rakyat Malaysia dan dikongsi oleh rakan-rakan yang berada di negara luar,” katanya lagi.

Beliau juga berpendapat kerajaan di bawah kepimpinan Najib harus mengambil berat pandangan rakyat dalam lapan tuntutan yang dibuat oleh Bersih 2.0 dalam memperkasakan Suruhanjaya Pilihan Raya negara ini.
Husam juga turut menyokong agar selagi tuntutan yang dikehendaki rakyat tidak dipenuhi, seluruh rakyat memakai baju kuning pada setiap Sabtu bermula Sabtu ini sebagai solidariti berterusan.

Menyentuh kenyataan Ketua Polis Negara yang mengatakan hanya sekitar 5,000 hingga 6,000 hadir pada demonstrasi Bersih 2.0, Husam berkata ketua polis perlu lebih peka dengan perkembangan media baru, semua menunjukkan hampir puluhan ribu yang hadir pada hari tersebut.

“Ini bukan zaman 60-an lagi, kalau dulu terpampar di akhbar kenyataan pemimpin secara besar-besaran, orang kampung akan beli akhbar tersebut dan mempercayainya, sedangkan masa kini ia telah berubah, akhbar sudah tidak lagi relevan kerana media elektronik lebih pantas dan siap dengan gambar videonya sekali,”kata beliau lagi.

Husam juga berkata, pihak polis kena belajar banyak lagi kerana pelbagai halangan dan sekatan dikenakan kepada rakyat untuk tidak menghadiri perhimpunan Bersih 2.0 tersebut, namun ia amat gagal kerana puluhan ribu berjaya berhimpun di kawasan tersebut.

Harakah Daily - 13/7/2011