Seorang pakcik yang berkopiah menuju ke arah saya, "Di manakah  stadium?" Saya menuding jari ke depan. Lantas beliau berjalan ke arah  sana, tanpa sebarang keraguan. Saya merasakan diri saya amat tidak  berguna pada ketika itu.
Mengapa tidak saya bertindak sebagaimana  pakcik itu? Berarak adalah hak kita. Mengapa pula saya takut? Saya tetap  berdiri di situ, menyaksikan bagaimana orang tua itu dihalang polis,  dan kemudian beliau terus berjalan ke depan.
Kemudian saya  berjalan, dan terserempak dengan seorang polis muda. Beliau bertanya  untuk apa saya berada di situ, saya sekadar jawab, tak ada, cuma  jalan-jalan.
Beliau menunjuk ke arah Jalan Sultan,  mengarahkan saya beredar dari situ, atau saya akan ditangkap. Saya tahu  beliau cuba menakutkan saya. Masih awal lagi, saya tidak mahu timbul  hal, maka saya pun beredar.
Saya nampak sekumpulan orang  di kedai KL Commercial Book Co., semacam orang PAS, maka saya berjalan  menuju ke arah mereka. Pada hakikatnya, saya amat yakin dengan mereka.  Saya rasa diri saya berselindung di dalam kelompok mereka pada ketika  itu. Ya, saya rasa sangat selamat.
Pada kira-kira jam  12.20 tengah hari, kelompok di sini hanya kira-kira 20 orang. Tiba-tiba  kami dengar jeritan orang, dan kami bergegas ke situ dan mendapati  kira-kira 2,000 orang. Mereka muncul entah dari mana, sungguh ajaib!  Tapi kami masih menganggap bilangan ini terlalu sedikit!
Pada  kira-kira jam 12.30 tengah hari, saya tak berapa ingat lagi. Kami  nampak sekumpulan manusia menuju ke arah kami melalui Jalan Sultan,  sambil melaungkan slogan. Bilangan mereka terlalu ramai berbanding kami.  Ramai orang tua yang bertanya, PERKASA? Pemuda UMNO? Kami berdiri di  situ dan memandang, gagal mendengar apakah yang dilaungkan.
Tiba-tiba,  ada yang bertepuk tangan, berkata "Tengok, Cina ada, India ada, bukan  PERKASA, bukan Pemuda UMNO, orang kita!" Kami bertepuk dengan gemuruh,  berarak ke arah mereka untuk berkumpul bersama. Kami seolah-olah dapat  membentuk pasukan kami, dan tidak lagi keseorangan atau kesepian.
"BERSIH!  BERSIH! Hidup BERSIH!" Ribuan yang membanjiri Jalan Sultan. Orang  berada di tengah dan di tepi jalan, warga tua dan warga muda. Maka kami  terus berjalan, tidak memasuki jalan ke arah Stadium Merdeka. Saya  sedar, bilangan kami masih tidak mencukupi. Kami menuju ke arah Pudu  Raya, dan di situ telah dibanjiri lautan manusia yang lebih daripada 10  ribu.
Abang saya menghantar sms kepada saya, memberitahu  bahawa pasukan di Hotel Hilton telah mula bertolak. Dengan serta-merta  saya berkongsi maklumat ini dengan orang yang berada di sisi saya.
Kira-kira  jam 1 tengah hari, kami nampak satu pasukan yang lebih besar, kemas  sususannya berarak dari arah Hospital Tung Shin. Kemudian, muncul lagi  satu pasukan dari Kota Raya. Tidak berhenti kami bertepuk tangan. Kami  menjerit sepuas-puasnya. Saya nampak ramai yang menakung air di matanya.  Saya amat terharu. Saya kini berada di tengah-tengah belasan, malah  puluhan ribu orang. Saya tidak kesepian, kami tidak kesepian!
Terharu kerana dibantu orang yang saya tidak kenal langsung!
Kami  berkumpul di depan Menara MayBank. Saya tak dengar apa yang diucap  pemidato. Tapi saya hanya seorang penyokong. Saya hanya menyorak bersama  kelompok manusia, bertepuk tangan apabila semua orang berbuat demikian.
Kemudian  saya mendapati trak FRU. Seorang warga tua, mungkin dari PAS, memesan  agar saya undur dahulu. Tidak lama kemudian, FRU melepaskan gas pemedih  mata, dan meriam air kimia yang berwarna biru. Saya rasa macam  tersengit. Baunya sangat tidak menyenangkan. Orang di sisi saya (sahabat  dari kaum lain) menuangkan air ke atas kepala saya. Ada seorang yang  menyapu minyak angin di bawah kelopak mata saya. Ada pula yang memberi  garam kepada saya.
Saya teringat, air mata saya mengalir  pada ketika itu bukan disebabkan gas pemedih mata, tetapi mengalir  kerana terharu dengan bantuan yang dihulurkan oleh orang-orang yang saya  tak kenal ini.
Pada ketika itu saya nampak polis, kononnya,  menangkap orang ramai di depan Menara MayBank. Ramai yang memanjat ke  atas di cerun pada mulanya, kemudian mereka melompat dari tembok yang  tinggi. Saya sangat marah ketika itu, kerana saya nampak ramai wanita  dan warga tua. Dan mereka yang kononnya polis itu dicemuh dalam hati  saya, "Bukan manusia!"
Saya berehat seketika. Saya menjangkakan  bahawa orang ramai akan menuju ke Jalan Sultan. Maka, saya berjalan  dahulu ke arah sana. Apabila berdekatan dengan KFC, hujan mulan turun.  Seorang peserta yang tua berkata kepada saya, "Komunis pun tak macam  ini!" Saya tercengang seketika, gagal memberi apa-apa jawapan....
Matlamat sama..
Pada  sebelah malam, saya dimaklumkan bahawa kawan dari kaum Melayu amat  terharu dengan kehadiran kami. Mereka berkata, "Itu kebanggaan kami  apabila kamu muncul bersama. Kamu duduk belakang sikit, biar kami yang  hadapi peluru (gas pemedih mata) dan keganasan di depan!"
Nota:  Akhirnya saya sedar, mengapa saya berselindung dalam kelompok orang  PAS. Mereka membuktikan dengan tindakan mereka, itu yang membuatkan saya  terharu dan berasa selamat. Lain kali, saya tetap akan bersama mereka,  berada di garis depan, untuk menghadapi peluru (gas pemedih mata) dan  keganasan.
Terima kasih, sahabat semua. Walaupun kita tidak  berkenalan, tapi matlamat kita sama. Dan ini hanya boleh dirasai mereka  yang hadir dalam perhimpunan.
Saya menyeru agar lebih ramai bangkit dari tidur, dan mereka yang sudah sedar, biarlah bertindak. -MerdekaReview
*Tulisan di atas disedut, disunting dan diterjemah daripada catatan seorang pembaca MerdekaReview, edisi bahasa Cina, yang menghadiri perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011.

No comments:
Post a Comment