Sunday 31 July 2011

SELAMAT MENYAMBUT PUASA RAMADHAN


Bulan Ramadhan bulan berganda. Setiap apa saja yang dilakukan akan mendapat balasan berganda. Malahan nafsu kita juga turut berganda walaupun pada bulan ini syaitan dirantai oleh Allah. Ini adalah kerana nafsu telah bertapak di hati dan bermaharajalela.

Saudara-saudari,

Apabila kita membuat kesilapan kita sering menyalahkan syaitan dan iblis yang menggoda kita. Tetapi mengapakah kesilapan yang sama turut berlaku dalam bulan Ramadhan? Adakah rantai-rantai yang membelit kaki-kaki syaitan itu terlalu panjang hingga dapat memberi 'petunjuk' kepada kita?

Sabda Rasulullah saw.:
"Apabila datang bulan Ramadhan, dibukakan pintu langit dan ditutup pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan."

Semoga dengan keberkatan Ramadhan ini kita akan dapat menggilap kembali hati kita yang pudar dan melumpuhkan nafsu-nafsu hitam yang bertahta di hati kita selama ini. Oleh itu, inilah masa yang perlu digunakan sebaik mungkin untuk mendidik kembali nafsu kita yang selama ini dikongkong oleh syaitan. Berpuasa bukanlah sekadar berlapar semata-mata. Tetapi puasa adalah berlapar di samping mendidik nafsu dan peribadi manusia. Ini adalah jihad yang maha besar yang perlu dihadapi oleh setiap  umat Islam.

Nabi Muhammad saw pernah bersabda:
"Berjihadlah kamu dengan lapar dan dahaga kerana pahalanya seperti pahala mujahid di jalan Allah (fi sabilillah) dan sesungguhnya tiada amalan yang lebih diperkenankan oleh Allah selain menahan lapar dan dahaga"

Saudara-saudari,

Bulan Ramadhan ini adalah anugerah Allah sebagai lambang kasih sayang kepada hamba-hamba Nya. Allah tidak mensia-siakan keletihan umatnya yang berpuasa hinggakan tidur di waktu siang juga diberikan pahala. Begitu besarnya kasih sayang Allah pada kita. Oleh itu marilah bersama-sama kita menilai diri kita. Semoga tahun ini amalan kita akan semakin bertambah dan sempurna perlaksanaannya. Insya Allah. Janganlah kita termasuk dalam golongan yang menganiayai diri
sendiri.

Sabda Rasulullah saw:
"Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan nescaya diampunkan segala dosa-dosanya yang lalu."

Wassalam...

Wednesday 27 July 2011

Sertai BERSIH 2.0 punca Ustaz Zamri dipecat TV9

Gara-gara menyertai perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lepas, hos rancangan 'Adik & Al-Quran' menerima notis pecat 24 jam dari rangkaian televisyen Media Prima yang dimiliki Umno.

Ustaz Zamri dipecat semata-mata kerana gambarnya menyertai perhimpunan Bersih 2.0 didedah oleh beberapa blogger Umno.
Pemecatan beliau turut disahkan oleh penerbit eksekutif TV9, Ezzah Aziz Fawzy.


Ezzah mendedahkan, pihak atasan Prime Works bertanggungjawab mengarahkan pemecatan Ustaz Zamri serta menghentikan program berkenaan serta-merta atas sebab tertentu.

"Pihak produksi telah dimaklumkan mengenai perkara ini. Makluman dalam bentuk arahan ini sudah pasti ada sebab yang kukuh mengapa ia tidak dapat diteruskan, cuma ia tidak boleh diuar-uarkan kepada umum.



"Program Adik & al Quran sebelum ini mendapat sambutan menggalakkan antara program yang mendapat rating tertinggi di kalangan penonton, tetapi stesen TV lebih mementingkan isu sensitiviti dan perlu memberi penekanan kepadanya," katanya dipetik dari Sinar Harian, semalam.

Perkembangan terbaru itu dijangka bakal mencalar imej TV9 sebagaimana yang diperlihatkan rakyat ke atas saluran TV3 sebelum ini.

TAHNIAH TV 9 !! kalian mmg terbaekk...program ilmu dibuang, hiburan pulak diutamakan....dunia akhir zaman....ahli ugama di ketepikan, artis diagung-agungkan.....

(Rakyat Marhaen.blogspot)

Sunday 24 July 2011

Apa yang jadi pada akaun facebook kita selepas kita mati?



mari kita renung-renungkan bersama
fikir-fikirkan bersama
jika satu hari nanti kita mati,
akaun facebook ini hanya kita yang tahu password
hanya kita yang boleh access..

dan

selepas kita mati..
apa yang jadi pada akaun fb kita?
mungkin ada yang akan ucapkan takziah
mungkin ada yang selalu menjenguk bagi mengubat rindu
tetapi..

sedarkah kita
gambar-gambar kita..
akan terus membuatkan kita terseksa di alam kubur?
gambar-gambar yang tidak ditutupi aurat dengan sempurna
macam mana nanti?

lelaki ajnabi terus-terusan tengok
dalam masa yang sama, tiada siapa yang boleh deletekan gambar kita..
walau sudah bertahun-tahun kita mati, gambar itu terus ada..
saham dosa terus meningkat..

macam mana?
pernah terfikir tak?
tudung singkat yang dipakai tu, akan selamatkan kita dalam kubur nanti?
legging dan jeans ketat, boleh selamatkan kita?
baju yang membalut aurat itu, bagaimana?

mungkin kini
kita masih merasa tak sabar nak berkongsi cerita dengan gambar-gambar yang cantik
tempat-tempat yang kita dah lawati di muka bumiNya
tapi di akhirnya nanti..

semua itu tidak akan membawa erti
semuanya hanya tinggal kenangan bagi yang masih hidup
di alam kubur, semua itu tidak sedikit pun boleh menyelamatkan kita
cuba kita renung-renungkan,

saham dosa yang terus meningkat walau setelah ketiadaan kita di muka bumi sehingga hari akhirat
tutupilah auratmu sebelum auratmu ditutupkan
peliharalah dirimu sebelum dirimu dikapankan~

jagalah maruah diri sebagai seorang muslimah
mati itu pasti

persiapkan diri untuk mati itu perlu
moga Allah redha dengan perkongsian ini
amin~

renung-renungkan da selamat beramal
●●●●⊱●●⊱●●⊱Sebar-sebarkan Semoga Bermanfaat ●●⊰●●⊰●●●●
sumber : layar minda

Kenapa hendak membazir kalau boleh guna dakwat kekal? Kerana projek juta-juta untuk kroni

 
 
SHAH ALAM 24 JULAI : Jika ada yang lebih mudah dan murah mengapa perlu memperuntukkan kos yang tinggi walaupun kesannya boleh dipertikai.
 
Itu persoalan yang dibangkitkan oleh Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Urusan Ekonomi (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan ekoran tindakan kerajaan bersetuju memberi peruntukan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi tujuan mewujudkan sistem biometrik dalam pilihan raya di negara ini.

" Ada cara yang lebih mudah untuk menyelesaikan masalah tetapi kita pula mencari jalan yang rumit dan amat mahal.

" Saya pun tidak faham kenapa bila kita ada yang lebih murah dan lebuh mudah iaitu pakai dakwat kekal, yang jauh lebih murah daripada biometrik, kita hendak guna teknologi yang harganya berkali ganda dan kesannya masih boleh dipertikaikan,"katanya kepada Tv Selangor.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan bahawa kerajaan akan memperuntukkan sejumlah dana bagi membiayai sistem biometrik yang mungkin dilaksanakan pada pilihan raya umum ke-13.

Namun seperti mahu menyindir tuntutan rakyat dan gagasan pembangkang yang mendokong perjuangan Bersih 2.0 menuntut pilihan raya adil dan bersih dilaksanakan di negara ini, Najib mendakwa Malaysia terpaksa mendahului negara maju dalam menyediakan sistem ini untuk kepuasan rakyat.

"Kalau nak buat penambahbaikan kita akan buat. Kita akan buat yang terbaik(menggunakan biometrik bagi memastikan pilihan raya yang adil dan bersih)walaupun negara-negara maju pun tak buat," Najib dipetik sebagai berkata.

Malah Najib juga mendakwa bahawa Pakatan Rakyat sengaja membangkitkan isu pilihan raya yang bersih di negara ini ekoran kekalahan parti itu dalam beberapa pilihan raya kecil mutakhir ini di tangan kerajaan.

"Di peringkat nasional, kita (Barisan Nasional-BN) ada masa dapat undi banyak ada masa undi sikit. Tetapi majoriti masih di tangan kita. Kalau kita boleh jamin kita boleh menang, takdelah menteri kalah (pilihan raya) dan ada negeri kalah," katanya lagi.

Hakikatnya menurut Wan Saiful, tuntutan untuk sebuah pilihan raya yang adil bukanlah satu perkara baru. Malah ia adalah tuntutan tidak berkesudahan rakyat yang terus dinafikan sehingga ke hari ini.

" Saya rasa ada manfaat jelas kepada kerajaan kalau mereka mendakwa isu ini baru ditimbulkan supaya kita terlupa bahawa isu ini telah lama ditimbulkan pada awal 90-an dan mungkin awal daripada itu. Malah ketika Umno dibubarkan dulu pun, ia berpunca daripada sistem pengundian,"tegas Wan Saiful.
" Tapi saya boleh faham sekiranya saya berada di dalam kasut ahli-ahli politik di sebelah pemerintah sekarang, pasti yang saya hendak buat ialah mendakwa ini perkara yang sengaja ditimbulkan oleh pembangkang. Saya akan kata pembangkang cuba mengeksploitasi perkara yang ditimbulkan,"katanya lagi.

Kenyataan Najib itu senada dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang selama ini bermati-matian mendakwa mereka sebagai badan bebas dan telus dalam menjalankan tanggungjawab walaupun terdapat bukti berlakunya masalah seperti pengundi hantu, rasuah berleluasa dan sebagainya.

Tambah menghairankan, apabila sebuah agensi yang mendakwa mereka menjalankan amanah dengan baik menolak apabila rakyat memberi cadangan penambahbaikan seperti yang diutarakan oleh gabungan 62 badan bukan kerajaan dalam Bersih.

Sebaliknya SPR melabelkan pembangkang dan Bersih 2.0 mempunyai agenda tertentu di sebalik tuntutan yang dibuat.

Thursday 14 July 2011

Gara-Gara BERSIH 2.0 - Pemimpin pelajar di Mesir dibuang Kursus !!

Mendengar perkhabaran seorang sahabat di'mafsul'kan (dibuang) pelajarannya menyebabkan darah menyelirat dalam badan.

Ya Allah,besar sungguh dugaanMU pada dia. asbabnya hanyalah kerana memimpin pelajar bagi menyuarakan pendapat dan suara rakyat Malaysia di Mesir. Khususnya yang membabitkan tandatangan dan bukannya perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 julai baru-baru ini.

Al-Fadhil Ustaz Firdaus Bin Mazlan ( gambar )atau lebih senang dengan gelaran Alang, telah mendapat khabar berita dari syeikhnya(guru) bahawa pihak darul ifta'(kursus mufti) telah menerima surat dari KERAJAAN MALAYSIA bagi membuang beliau daripada kursus mufti yang sudah diikuti semenjak 3 tahun yang lalu.

Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk menyambut haflah(grad) dari kursus tersebut,hari ini beliau menerima perkhabaran yang amat berat untuk diterima. Rata-rata sahabat-sahabat di sini menumpang kesedihan atas kezaliman dan kekejaman yang berlaku.

Hanya kerana BERSIH, beliau diberhentikan pengajian...dimanakah hak kami untuk menyuarakan pendapat? saya yakin,ini adalah permulaan bagi tindakan yang dikenakan kepada pelajar2 di sini, di sana banyak lagi ugutan-ugutan dan kecaman dari pelbagai pihak berkenaan penglibatan kami,warga Malaysia di Mesir ni dengan BERSIH.

Nampaknya ini satu kejayaan buat BERSIH dan ianya satu 'signal' Kerajaan Malaysia amat takut akan suara syabab Malaysia di timur tengah khususnya Mesir ini, tidak hairanlah pelbagai usaha dilakukan dan pelbagai momokan diberi kepada kami sebagai langkah untuk menyekat kehadiran pelajar-pelajar baru ke mesir.

Moga Alang tabah dan ingatlah,anda tidak keseorangan dan beribu2 menanti untuk menuntut keadilan!

Takbir!

Credit to : permataperjuangan.blogspot

Wednesday 13 July 2011

Jadikan pembunuhan Baharudin sebagai “Beng Hock Melayu”

Seperti dijangkakan, media dayus perdana cengkaman Umno hari ini terus menurut telunjuk pemimpinnya memburukkan himpunan rakyat Bersih 2.0 semalam. Tiada tanda kerajaan serik atau sedar dengan tuntutan asal rakyat.

Malah media yang dianggap “kitab suci” oleh pakcik dan makcik di kampung itu, melebihkan kerugian peniaga dan kesesakan lalu lintas (akibat tindakan polis sendiri) daripada kehilangan nyawa seorang Melayu beragama Islam.

Semua media ternakan Umno menyembunyikan kematian seorang peserta himpunan aman yang terbunuh akibat ditembak gas pemedih mata polis.

Allahyarham Baharudin Ahmad, 56, dari Kelompok Camar, Ampang Ulu Klang meninggal dunia selepas pengsan di perkarangan KLCC dan disahkan meninggal di HKL, akibat keganasan pihak berkuasa dalam himpunan Bersih di ibu negara.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi yang menghadiri persidangan anggota Parlimen Islam Antarabangsa di Langkawi pagi ini, patut dedahkan perkara ini supaya seluruh dunia tahu sampah yang ingin “disapu ke bawah karpet” oleh Umno ini.

Ada sahabat berpesan, supaya menulis: jadilanlah kematian Baharudin sebagaimana orang Cina menerima kematian Teoh Beng Hock dulu.

Selepas kematian Beng Hock, undi orang Cina sentiasa tidak menyebelahi BN hingga kini. Bagi orang Cina, kehilangan satu nyawa bangsa mereka boleh menukar kerajaan!

Dari segi ini, orang Melayu “sejuk” sikit.

Semoga kematian Baharudin mencelikkan mata orang-orang Melayu dan bangun sebagaimana reformasi 1998.

Kenyataan Abdul Hadi perhimpunan 9 Julai hanya satu permulaan, juga amat disokong. Jika boleh selepas ini kembangkan gerakan himpunan Bersih menuntut keadilan pilihan raya ke tiap-tiap ibu negeri!


credit to : selamatkanpahang.blogspot.com

Bersih 2.0 bukti rakyat Malaysia akrab




KOTA BHARU, 13 Julai: Himpunan aman Bersih 2.0 yang diadakan di ibu negara Sabtu lalu membuktikan satu demonstrasi yang dilakukan oleh rakyat negara ini dengan melibatkan pelbagai kaum.
Persahabatan dan silaturrahim yang ditonjolkan oleh pelbagai kaum membuktikan rakyat negara ini secara umumnya inginkan satu proses pilihan raya yang bersih dari pelbagai sudut.

Menurut Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, rakyat negara ini boleh melihat gambar-gambar yang tersebar luas menunjukkan ada orang India yang rebah kerana sesak nafas dibantu oleh budak Melayu yang berkopiah, ada orang Melayu yang rebah, ada budak Cina yang datang membantu yang membuktikan pelbagai kaum bersatu dalam demonstrasi Bersih 2.0.

“Saya rasa ia sangat bermakna dan ini membuktikan rakyat Malaysia boleh hidup aman damai dan bersatu sekiranya pemerintah dapat melaksanakan dasar-dasar yang boleh menimbulkan perpaduan di kalangan rakyat,” ujar beliau ketika ditemui di majlis Mesyuarat Agung Gabungan Persatuan Pemandu-Pemandu Kereta Sewa Kelantan Barat di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kelantan, JKR 10, malam tadi.
Husam juga berkata demontrasi aman Bersih 2.0 kali ini amat memberangsangkan kerana melibatkan rakyat Malaysia di seluruh dunia seperti di Australia, Mesir, England, Kanada, Taiwan dan banyak lagi bandaraya dunia luar.



“Isu yang dibawa oleh Bersih 2.0 ini adalah isu yang valid dan yang betul wujud dan dikehendak oleh rakyat Malaysia dan dikongsi oleh rakan-rakan yang berada di negara luar,” katanya lagi.

Beliau juga berpendapat kerajaan di bawah kepimpinan Najib harus mengambil berat pandangan rakyat dalam lapan tuntutan yang dibuat oleh Bersih 2.0 dalam memperkasakan Suruhanjaya Pilihan Raya negara ini.
Husam juga turut menyokong agar selagi tuntutan yang dikehendaki rakyat tidak dipenuhi, seluruh rakyat memakai baju kuning pada setiap Sabtu bermula Sabtu ini sebagai solidariti berterusan.

Menyentuh kenyataan Ketua Polis Negara yang mengatakan hanya sekitar 5,000 hingga 6,000 hadir pada demonstrasi Bersih 2.0, Husam berkata ketua polis perlu lebih peka dengan perkembangan media baru, semua menunjukkan hampir puluhan ribu yang hadir pada hari tersebut.

“Ini bukan zaman 60-an lagi, kalau dulu terpampar di akhbar kenyataan pemimpin secara besar-besaran, orang kampung akan beli akhbar tersebut dan mempercayainya, sedangkan masa kini ia telah berubah, akhbar sudah tidak lagi relevan kerana media elektronik lebih pantas dan siap dengan gambar videonya sekali,”kata beliau lagi.

Husam juga berkata, pihak polis kena belajar banyak lagi kerana pelbagai halangan dan sekatan dikenakan kepada rakyat untuk tidak menghadiri perhimpunan Bersih 2.0 tersebut, namun ia amat gagal kerana puluhan ribu berjaya berhimpun di kawasan tersebut.

Harakah Daily - 13/7/2011

Tuesday 12 July 2011

KISAH BENAR: Catatan Seorang Peserta Cina: "Saya Rasa Selamat Bersama Orang PAS"

Seorang pakcik yang berkopiah menuju ke arah saya, "Di manakah stadium?" Saya menuding jari ke depan. Lantas beliau berjalan ke arah sana, tanpa sebarang keraguan. Saya merasakan diri saya amat tidak berguna pada ketika itu.
Mengapa tidak saya bertindak sebagaimana pakcik itu? Berarak adalah hak kita. Mengapa pula saya takut? Saya tetap berdiri di situ, menyaksikan bagaimana orang tua itu dihalang polis, dan kemudian beliau terus berjalan ke depan.

Kemudian saya berjalan, dan terserempak dengan seorang polis muda. Beliau bertanya untuk apa saya berada di situ, saya sekadar jawab, tak ada, cuma jalan-jalan.

Beliau menunjuk ke arah Jalan Sultan, mengarahkan saya beredar dari situ, atau saya akan ditangkap. Saya tahu beliau cuba menakutkan saya. Masih awal lagi, saya tidak mahu timbul hal, maka saya pun beredar.

Saya nampak sekumpulan orang di kedai KL Commercial Book Co., semacam orang PAS, maka saya berjalan menuju ke arah mereka. Pada hakikatnya, saya amat yakin dengan mereka. Saya rasa diri saya berselindung di dalam kelompok mereka pada ketika itu. Ya, saya rasa sangat selamat.

Pada kira-kira jam 12.20 tengah hari, kelompok di sini hanya kira-kira 20 orang. Tiba-tiba kami dengar jeritan orang, dan kami bergegas ke situ dan mendapati kira-kira 2,000 orang. Mereka muncul entah dari mana, sungguh ajaib! Tapi kami masih menganggap bilangan ini terlalu sedikit!

Pada kira-kira jam 12.30 tengah hari, saya tak berapa ingat lagi. Kami nampak sekumpulan manusia menuju ke arah kami melalui Jalan Sultan, sambil melaungkan slogan. Bilangan mereka terlalu ramai berbanding kami. Ramai orang tua yang bertanya, PERKASA? Pemuda UMNO? Kami berdiri di situ dan memandang, gagal mendengar apakah yang dilaungkan.

Tiba-tiba, ada yang bertepuk tangan, berkata "Tengok, Cina ada, India ada, bukan PERKASA, bukan Pemuda UMNO, orang kita!" Kami bertepuk dengan gemuruh, berarak ke arah mereka untuk berkumpul bersama. Kami seolah-olah dapat membentuk pasukan kami, dan tidak lagi keseorangan atau kesepian.



"BERSIH! BERSIH! Hidup BERSIH!" Ribuan yang membanjiri Jalan Sultan. Orang berada di tengah dan di tepi jalan, warga tua dan warga muda. Maka kami terus berjalan, tidak memasuki jalan ke arah Stadium Merdeka. Saya sedar, bilangan kami masih tidak mencukupi. Kami menuju ke arah Pudu Raya, dan di situ telah dibanjiri lautan manusia yang lebih daripada 10 ribu.

Abang saya menghantar sms kepada saya, memberitahu bahawa pasukan di Hotel Hilton telah mula bertolak. Dengan serta-merta saya berkongsi maklumat ini dengan orang yang berada di sisi saya.

Kira-kira jam 1 tengah hari, kami nampak satu pasukan yang lebih besar, kemas sususannya berarak dari arah Hospital Tung Shin. Kemudian, muncul lagi satu pasukan dari Kota Raya. Tidak berhenti kami bertepuk tangan. Kami menjerit sepuas-puasnya. Saya nampak ramai yang menakung air di matanya. Saya amat terharu. Saya kini berada di tengah-tengah belasan, malah puluhan ribu orang. Saya tidak kesepian, kami tidak kesepian!
Terharu kerana dibantu orang yang saya tidak kenal langsung!

Kami berkumpul di depan Menara MayBank. Saya tak dengar apa yang diucap pemidato. Tapi saya hanya seorang penyokong. Saya hanya menyorak bersama kelompok manusia, bertepuk tangan apabila semua orang berbuat demikian.
Kemudian saya mendapati trak FRU. Seorang warga tua, mungkin dari PAS, memesan agar saya undur dahulu. Tidak lama kemudian, FRU melepaskan gas pemedih mata, dan meriam air kimia yang berwarna biru. Saya rasa macam tersengit. Baunya sangat tidak menyenangkan. Orang di sisi saya (sahabat dari kaum lain) menuangkan air ke atas kepala saya. Ada seorang yang menyapu minyak angin di bawah kelopak mata saya. Ada pula yang memberi garam kepada saya.

Saya teringat, air mata saya mengalir pada ketika itu bukan disebabkan gas pemedih mata, tetapi mengalir kerana terharu dengan bantuan yang dihulurkan oleh orang-orang yang saya tak kenal ini.
Pada ketika itu saya nampak polis, kononnya, menangkap orang ramai di depan Menara MayBank. Ramai yang memanjat ke atas di cerun pada mulanya, kemudian mereka melompat dari tembok yang tinggi. Saya sangat marah ketika itu, kerana saya nampak ramai wanita dan warga tua. Dan mereka yang kononnya polis itu dicemuh dalam hati saya, "Bukan manusia!"
Saya berehat seketika. Saya menjangkakan bahawa orang ramai akan menuju ke Jalan Sultan. Maka, saya berjalan dahulu ke arah sana. Apabila berdekatan dengan KFC, hujan mulan turun. Seorang peserta yang tua berkata kepada saya, "Komunis pun tak macam ini!" Saya tercengang seketika, gagal memberi apa-apa jawapan....
Matlamat sama..

Pada sebelah malam, saya dimaklumkan bahawa kawan dari kaum Melayu amat terharu dengan kehadiran kami. Mereka berkata, "Itu kebanggaan kami apabila kamu muncul bersama. Kamu duduk belakang sikit, biar kami yang hadapi peluru (gas pemedih mata) dan keganasan di depan!"

Nota: Akhirnya saya sedar, mengapa saya berselindung dalam kelompok orang PAS. Mereka membuktikan dengan tindakan mereka, itu yang membuatkan saya terharu dan berasa selamat. Lain kali, saya tetap akan bersama mereka, berada di garis depan, untuk menghadapi peluru (gas pemedih mata) dan keganasan.
Terima kasih, sahabat semua. Walaupun kita tidak berkenalan, tapi matlamat kita sama. Dan ini hanya boleh dirasai mereka yang hadir dalam perhimpunan.

Saya menyeru agar lebih ramai bangkit dari tidur, dan mereka yang sudah sedar, biarlah bertindak. -MerdekaReview

*Tulisan di atas disedut, disunting dan diterjemah daripada catatan seorang pembaca MerdekaReview, edisi bahasa Cina, yang menghadiri perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011.

Monday 11 July 2011

Kejayaan BERSIH 2.0 menggoyangkan Umno-BN

KOMENTAR: Majmuk! Beleklah gambar-gambar dan video perhimpunan Bersih 2.0 pada Sabtu 9 Julai lalu dan anda akan pasti  disambar satu pemandangan yang membanggakan. Bahawasanya yang keluar di  jalan-jalan raya di pusat bandaraya Kuala  Lumpur ialah warga Malaysia dari berbilang kaum.
 


Ini satu hakikat. Baik pemimpin kerajaan, pemerhati politik dan pihak polis sendiri pasti tidak boleh menafikannya. Maka dengan sendiri terkulailah dakwaan bahawa kononnya Bersih 2.0 ini adalah agenda pihak tertentu yang mahu memperkudakan orang Melayu supaya bersengketa sesama sendiri.

Rakyat dari pelbagai peringkat umur dan tanpa mengenal sempadan bangsa keluar beramai-ramai menggunakan hak mereka di bawah Artikel 10 Perlembagaan Malaysia untuk berhimpun dan menyuarakan kekecewaan, kegelisahan dan aspirasi mereka terhadap sistem pilihanraya negara yang cacat dan curang. 



Tanpa niat untuk membuat hingar, heboh dan ceroboh terhadap hak orang lain, di bawah payung Bersih 2.0 mereka melaungkan pada dunia, ada yang tidak kena pada pihak pemerintah yang bermati-matian cuba menafikan hak asasi mereka itu walau berulang kali mereka isytiharkan untuk bersuara dengan aman.

Perihal niat mereka mahu berhimpun dengan aman dan tertib pada hari itu disahkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Oleh kerana yakin perhimpunan Bersih 2.0 tidak akan memudaratkan keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat, beliau dengan segala senang hati meninggalkan negara untuk temujanji dengan Pope di Vatican City. 

Sebagai seorang perdana menteri yang bertanggungjawab, sudah pasti Najib tidak akan mahu meninggalkan Malaysia jika beliau percaya keadaan darurat akan berlaku.

Tentu sebagai anak Tun Razak yang bertanggungjawab mengelakkan Malaysia hancur kerana peristiwa 13 Mei 1969, Najib akan bersama memantau dan memimpin supaya darurat tidak berlaku sekali lagi  di Malaysia.

Keyakinan Najib pada tujuan luhur Bersih 2.0 ini seharusnya dikongsi oleh semua menteri kabinetnya, terutama sepupunya Hishammuddin Hussein yang juga Menteri Dalam Negeri.

Jika Hisham optimis seperti Najib tentu polis tidak perlu membazir gas pemedih mata dan melumpuhkan pergerakan trafik di sekitar Kuala lumpur. 

Cuma yang mencacatkan sedikit usaha Bersih 2.0 meraikan demokrasi yang subur ialah pasukan keselamatan yang kurang yakin dengan sikap optimis Najib dan bertindak seolah-olah Bersih 2.0 adalah musuh Negara. Itupun, umum tahu adalah kerana didorong oleh kegelabahan Hishamuddin yang kini terbukti seorang pesimis. 

Kemajmukan peserta Perhimpunan Bersih 2.0 adalah satu janji bahawasanya masa depan Malaysia adalah cerah. Ini kerana apa jua pertimbangannya, sekarang sudah nampak perimbangan yang sihat di antara pemimpin dan rakyat pelbagai kaum bagi mengemudi Malaysia ke arah yang lebih adil dan sejahtera dan bukan caragaya kepemimpinan negara yang cuba menghimpun kuasa di kalangan kroni Umno sahaja. 

Ini digambarkan oleh sikap Patriot (yang entah berdaftar atau tidak dengan Pendaftar Pertubuhan) yang cuba menyekat suara rakyat yang memilih menyertai inisiatif Bersih 2.0. 

Meskipun ditekan dan digertak serta difitnah sebagai anti-Islam pengerusi Bersih 2.0, Datuk S Ambiga yang kini ditahan polis dengan yakin menyimpulkan bahawa matlamat Bersih telah berjaya menghasilkan beberapa perkara positif untuk Malaysia.

Pertama, katanya, ia telah meluapkan rasa tidak senang hati rakyat terhadap penggunaan kuasa yang semberono oleh kerajaan yang kelihatan agak ketinggalan zaman di segi pemikirannya.

Kedua, kata Ambiga lagi, Bersih 2.0 memperkukuh dalam diri rakyat keazaman untuk menghidupkan perimbangan dan kezuhudan dalam kerajaan.

Dan ketiga, rakyat kini dapat merasai dan menghayati bagaimana sebenarnya mereka mempunyai hak dan kuasa untuk membawa perubahan meskipun cuba digugat oleh polis.

Ini semua berlaku kerana pemikiran yang agak cetek di kalangan pemimpin seperti Hishamuddin. Dengan awal-awal lagi mengisytiharkan tindakan tegas dan keras untuk membenamkan usaha Bersih ini, Hisham telah menggalakkan dan mengghairahkan media arus perdana untuk memomokkan kempen Bersih 2.0 secara berlebihan.

Kedangkalan pemikiran ini apabila disebarkan tanpa tapisan dan perimbangan menafikan hakikat bahawa duniakini sudah terbuka luas di segi percambahan maklumat. 

Gertakan polis yang bukan sahaja diulang-ulang oleh media massa tetapi papan pengumuman trafik (ITIS) menimbulkan kejengkelan rakyat yang tahu mesej apa sebenarnya yang hendak dikhabarkan oleh Bersih 2.0 pada mereka.

Namun begitu segala keterbatasan pemikiran media arus perdana – Utusan, Berita Harian, The Star, The New Straits Times, Astro, TV3 dan kerabat mereka serta RTM – berjaya menggamit naluri ingin tahu rakyat kepada perjuangan Bersih 2.0 dan isu kecacatan sistem pilihanraya di Malaysia.

Dan, apabila dengan segala azam dan besar hati puluhan ribu rakyat berbilang kaum bermandi air bercampur kimia yang dipancut ke arah mereka oleh Unit Simpanan Persekutuan (FRU), perjuangan Bersih 2.0 menjadi lebih bening dan jelas di mata warga Malaysia! 

Apapun semua pihak haruslah bersyukur polis masih belum mengerahkan segala kudrat yang ada padanya untuk mengganyang gerakan Bersih 2.0. Jika PDRM secara melulu mengikut telunjuk pemikiran yang kurang matang, tentu respons rakyat  jelata akan lebih hebat daripada apa yang disaksikan pada 9 Julai.

Bersih 2.0 diisokong oleh Pakatan Rakyat, gabungan tiga parti politik utama di Malaysia. Ia adalah inisiatif 62 Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang mahu perbaikan berlaku pada sistem pilihanraya di Malaysia.

Namun selepas perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai kerajaan Umno-BN hari  ini perlu menjelaskan bukan sahaja pada rakyat Malaysia tetapi warga dunia yang cintakan keamanan dan demokrasi, mengapa hampir semua pemimpin Pakatan Rakyat ditahan? 

Apakah Umno-BN sudah tidak percaya pada sistem demokrasi dan cuba memadamkan semua bentuk perbezaan pendapat dan saingan politik dengan menggunakan kuasa polis? 

Rakyat Malaysia dan warga dunia juga ingin tahu apakah Umno-BN juga mahu beranjak daripada sistem Raja Berperlembagaan setelah membelakangi pandangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bahawa rakyat ada hak bersuara jika meyakini ada kepincangan dalam hidup bernegara? 

Credit to : gigitankerengga.blogspot.com

Tidak mustahil BERSIH 3.0

SEBERANG JAYA, 12 Julai: "Umno dan pihak keselamatan boleh rosakan kepala lutut saya tetapi mereka tidak sekali-kali berjaya merosakan pemikiran saya untuk terus berjuang sehingga matlamat memartabatkan kembali maruah negara yang telah musnah akibat permainan jahat Barisan Nasional (BN)," kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar) di hadapan puluhan ribu rakyat Pulau Pinang di Tapak Ekspo, Seberang Jaya, malam tadi. 



Beliau yang datang dengan kerusi roda akibat rempuhan kereta polis ketika membonceng motosikal untuk ke Masjid Negara pada 9 Julai lalu turut mengingatkan pihak keselamatan supaya segera mengubah sikap menjadi lebih profesional tidak mengikut telunjuk BN yang memerintah.

Katanya, Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0 tidak akan berhenti di situ malahan berjanji akan mengadakan lagi sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) serta kerajaan tidak memperdulikan lapan tuntutan untuk memperbaiki sistem pilihan raya di negara ini.

Tambahnya, seperti mana kata Presiden PAS, Bersih 2.0 merupakan 'mukadimah' kebangkitan rakyat dan seandainya SPR dan Kerajaan Malaysia masih berdegil, tidak mustahil Bersih 3.0 akan bangkit dengan lebih ramai rakyat yang rela bersama ke Kuala Lumpur berarak secara aman.

"Kali ni Najib rasa tertekan maka disuruhnya pihak polis bertindak. Akhirnya polis juga yang kena marah.
“Bagi menghilangkan perasaan yang bergelora Najib terus tinggalkan Malaysia buat seketika," jelasnya sambil melaungkan ‘Najib penipu’ beberapa kali semasa berucap.

Justeru, beliau mengingatkan rakyat supaya sedar polis bertindak berdasarkan arahan Najib yang tidak senang dengan kemaraan Pakatan Rakyat. Ini, katanya kerana anak muda secara terang-terangan memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Pakatan Rakyat sejak berkuasa di lima buah negeri selepas pilihan raya umum ke-12 lalu.

Tambahnya lagi, kehadiran kaum Tionghua dan India ke himpunan Bersih 2.0 cukup membimbangkan pemimpin kerajaan Malaysia berbanding Bersih pertama dahulu.
Jelasnya, paling membingungkan pemimpin Umno BN adalah masih ramai lagi rakyat yang keluar bersama Bersih 2.0 walhal semua jalan ditutup dan sekatan dikenakan.

Tambahnya, ini tentunya ada yang tidak kena terhadap arahan tersebut atau rakyat sudah cerdik datang awal memasuki Kuala Lumpur secara diam-diam semata-mata menjayakan Bersih 2.0.
"Saya pun hairan di mana munculnya ratusan ribu manusia bersedia berhimpun secara aman sedangkan berbagai sekatan dikenakan.

“Saya ucapkan syabas kepada anak-anak murid yang sanggup mengepalai kumpulan besar dan kecil sehingga mencapai matlamat sebab semua kepimpinan PAS, KeAdiLan dan badan Bukan Kerajaan (NGO) ditangkap lebih awal," tegasnya pada program anjuran Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu.
Pemidato utama yang berucap pada majlis pertama kali diadakan selepas himpunan Bersih 2.0 itu ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sumber : Harakah Daily 12/7/2011
 

KelCheff naikkan nama Bazar Tok Guru


 
KOTA BHARU - Bazar Tok Guru, Kota Bharu yang bakal beroperasi dalam masa terdekat akan menjadi lokasi rasmi Kelantan Cheng Ho International Food Festival (KelCheff) 2011 bermula 14 hingga 23 Julai ini.

Pegawai Komunikasi Korporat KelCheff, Abdullah Suhaimi berkata, walaupun lokasi berkenaan kurang dikenali dalam kalangan penduduk luar bandar Kota Bharu, namun ia bakal bertukar wajah ketika berlangsungnya program yang menawarkan pelbagai makanan Muslim, khususnya dari negara China itu.

“Selepas ini orang akan mula mengenali bazar ini yang menjadi antara lokasi perniagaan di negeri ini selepas Pasar Besar Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) ditutup tidak lama lagi,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, Bazar Tok Guru mempunyai persekitaran yang sesuai untuk menjadi lokasi pesta berkenaan yang akan bermula 14 Julai depan.

“Selama 10 hari peserta KelCheff akan berkampung di sini, dan kita mengharapkan agar lokasi yang disediakan ini memberi keselesaan kepada peniaga dan pengunjung,” katanya. 
 
Dalam program ini juga Pertubuhan Sukarelawan Hijau Kelantan (GREEN V) juga telah ditugaskan untuk membantu bagi melancarkan lagi program ini tanpa sebarang masalah. Pasukan ini diketuai En. Mohd Adilan Bin Jusoh selaku ketua sekreteriat.

Sementara itu, mereka yang berminat menyertai pesta makanan ini boleh hubungi pejabat Sekretariat KelCheff menerusi 09-7488442 dan 09- 7481010 atau mengunjungi pejabatnya di Pupuk Nilai murni Bhd, Tingkat 1 Medan Usahawan, Jalan Mahmood, Kota Bharu.

sinarharian/-

Polis...ooo....Polis....

  Liku-liku yang aku lalui bersama rakan-rakan seperjuangan di ambang BERSIH 2.0, iaitu tarikh keramat bagi seluruh rakyat Malaysia yang menuntut keadilan demi menjamin masa depan negara yang terbilang. Kota metropolitan Kuala Lumpur menjadi saksi kepada dunia di mana telah berlakunya satu fenomena luarbiasa di mana ratusan ribu penduduk Malaysia turun ke bandaraya ini walaupun diugut, disekat dan diharamkan masuk. 
  
  Walau apa cara sekalipun digunakan untuk menghalang suara rakyat ini terus merebak ke seluruh negara, rakyat terus bangkit dan berikhtiar dengan pelbagai cara untuk meloloskan diri ke ' medan pertempuran ' iaitu di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur.

  Malam sebelum Himpunan BERSIH 2.0, ayahku menghantar mesej kepadaku , kandungan mesej yang dihantar, "esok jaga diri baik-baik, semoga berjaya" , semangatku untuk ke Himpunan BERSIH terus menjulang tinggi dicampur dengan kata-kata semangat dari kawan-kawan di Facebook, walaupun di kaca televisyen pihak kerajaan dan polis memberi amaran kepada seluruh rakyat Malaysia agar tidak menyertai perhimpunan Bersih. Tapi dalam hatiku mengatakan 'LAWAN TETAP LAWAN !!'.

  Pada 9-7-2011 lebih kurang jam 11.00 pagi, seorang sahabatku yang datang dari utara telah ditahan polis di stesen KTM Masjid Negara dan dibawa ke Pulapol atas kesalahan ' bertakbir ' beramai-ramai. KEBODOHAN polis Malaysia mula terserlah apabila orang menyebut kalimah Allah pun kena tangkap. Seorang pak cik tua yang sudah uzur turut ditahan pihak polis apabila mereka mensyaki yang pak cik tu akan mengikuti himpunan Bersih.

   Pengalaman menghidu gas pemedih mata bersama ratusan ribu rakyat Malaysia memang pengalaman yang tak dapat dilupakan. Saban hari kita dimomokkan dengan tohmahan yang karut dari media dan kerajaan demi menarik sokongan kepada mereka .Anak muda sekarang sudah berubah, mereka mahukan pembaharuan dan 'anjakan paradigma' dalam pemerintahan di negara ini. Itu antara sebab mengapa Bersih 2.0 dipenuhi ratusan ribu rakyat.


   Akhlak polis & FRU dalam Himpunan Bersih baru-baru ni memang tak dapat dimaafkan. Sifat biadab, kurang ajar, zalim, firaun , zionis antara sifat yang ditonjolkan oleh polis & FRU. Seorang pemuda yang tak bersalah telah disepak oleh anggota polis sehingga patah tulang pehanya dan ditinggalkan begitu saja. Sedih melihat kejadian ini, kekejaman seperti yang dilakukan oleh tentera Israel terhadap rakyat Palestin.. Sungguh ZALIM !!! tidak berperikemanusiaan. Seorang pejuang dari kawasan Setiawangsa, Allahyarham Baharudin yang mahukan keadilan di Malaysia tak sempat melihat perubahan yang akan dilakukan anak muda apabila beliau telah menghidu terlalu banyak gas yang ditembak oleh FRU di kawasan KLCC sehingga menyebabkan beliau meninggal dunia...kata Ketua Polis Negara "saudara Baharuddin meninggal disebabkan masalah komplikasi jantung". Nampak sangat nak tutup kesalahan, kalau FRU tak sembur gas pemedih mata, mungkin Allahyarham masih sempat untuk meneruskan perjuangan. Tapi apakan daya, Allah menjemput dia dahulu.
   Allah maha besar. Kuasa Allah s.w.t  telah terbukti apabila semasa pihak FRU melepaskan gas pemedih mata ( kawasan Puduraya), dengan secara tiba-tiba angin datang dengan begitu kuat sekali menyebabkan gas yang dilepaskan berpatah balik ke arah FRU hingga menyebabkan mereka terpaksa lari bertempiaran. Allah di mana-mana, dia bersama pihak yang benar.

  Aku berharap agar semua polis & FRU yang terlibat dalam Himpunan BERSIH baru-baru ini mendapat balasan daripada Allah s.w.t . Berikan mereka azab yang setimpal sebagaimana mereka menyiksa orang-orang yang tidak berdosa dalam himpunan tersebut...Nantikan PRU 13, anak muda akan membuat perubahan di bumi Malaysia ini !! UBAH SEKARANG, SELAMATKAN MALAYSIA..


BERSIH 2.0



KUALA LUMPUR, 27 Jun — Sasterawan Negara Datuk A Samad Said turut dipanggil polis untuk diambil percakapan berhubung Himpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan 9 Julai ini.
The Malaysian Insider difahamkan polis mahu bertemu dengan beliau berhubung ucapannya pada majlis pelancaran Himpunan Bersih 2.0 di ibu negara pada 19 Jun lalu.

Pada majlis tersebut beliau antara lain menyampaikan ucapan dan puisi berjudul “Unggun Bersih”.

Dalam akaun Twitternya lewat malam tadi juga dihantar mesej merujuk kepada puisinya itu dan blognya di bawah alamat “Hujan Pagi http://samadsaid.wordpress.com/2011/06/26/unggun-bersih/”.

Ia seterusnya membawa pengunjung kepada teks ucapan ringkas beliau.

Beberapa pengunjung laman mikro Twitter juga mengulas mengenai perkara tersebut malam tadi.

Peguam dan anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR Latheefa Koya dalam mesej menerusi akaun Twitternya berkata, Samad dan Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Datuk Ambiga Sreenevasan akan disoal siasat oleh polis hari ini.

Mereka dijangka akan hadir di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi di sini, petang ini.

Minggu lalu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata polis tidak akan memberi permit bagi Himpunan Bersih 2.0 dan dua perhimpunan balas yang akan diadakan pada hari yang sama, anjuran Perkasa dan Pemuda Umno.

“Sasterawan Negara Malaysia berusia 76 tahun, A Samad Said dan pemenang terbaru anugerah International Women of Courage Ambiga akan disoal siasat oleh polis (berkaitan Bersih 2.0) esok (hari ini),” kata beliau dalam mesej Twitternya.

Naib Presiden PKR N Surendran pula mengemukakan persoalan mengapa Sasterawan Negara itu perlu dipanggil polis.

“Apa salah Pak Samad Said, diheret ke balai polis esok (hari ini)? Kerana membaca puisi di majlis Bersih!,” kata beliau dalam mesej Twitternya.

Berdasarkan teks ucapan yang diperoleh dari blog Samad, beliau antara lain menyentuh bahawa “murbawan Malaysia tidak senang dengan apa yang sedang berlaku di negara ini.”

“Kita menghantar pesanan yang sangat waras. Demokrasi perlu murni dan terus dimurnikan,” kata beliau.

Beliau seterusnya berkata, “kenapa kita tidak boleh memperbaiki situasi?”

“Kenapa kita harus membiarkan demokrasi diperkuda oleh segelintir kuasawan yang tampaknya bermaharajalela?

“Telah lama kita tidak senang dengan aliran demokrasi yang diperkuda ini. Telah lama kita inginkan demokrasi yang bersih, bergerak atas landas yang murni,” kata Samad lagi. -TMI

Unggun Bersih
Teks Ucapan Penuh Pada Malam Pelancaran Bersih—19 Jun, 2011.


“Murbawan Malaysia tidak senang dengan apa yang sedang berlaku di negara ini. Kita menghantar pesanan yang sangat waras. Demokrasi perlu murni dan terus dimurnikan.


Kenapa kita tidak boleh memperbaik situasi? Kenapa kita harus membiarkan demokrasi diperkuda oleh segelintir kuasawan yang tampaknya bermaharajalela?

Telah lama kita tidak senang dengan aliran demokrasi yang diperkuda ini. Telah lama kita inginkan demokrasi yang bersih, bergerak atas landas yang murni.



Kita sedar bahawa jalan ini tidaklah mudah. Maka itu, kita menjadi lebih berazam.


Kita maklum bahawa gergasi media arus perdana kini sedang ikut garang menghempit kita dalam arus peristiwa yang semakin durjana. Kita sedang berlawan dengan keangkuhan yang pejal. Oleh media arus perdana ini, kita sewenangnya digambarkan sebagai kumpulan “siasah” yang sangat bercita-cita buruk. Lebih buruk, kita digambarkan sebagai kelompok yang sengaja ingin menggelorakan masyarakat seburuk hajat.

Kita tidak begitu. Kita ingin memperbaiki jentera demokrasi agar lebih berhati nurani.

Kita tidak menginginkan demokrasi yang kasar dan sombong; kita merindukan demokrasi yang tulus dan betul.



Inilah gerakan kita yang, sayangnya, terpaksa bermula di tengah keangkuhan kerajaan yang merasa segala-galanya sudah betul, malah sudah syurgawi, di tanah air ini. Kita sebenarnya masih dalam derita yang terus dicipta oleh tangan kasar berhati angkuh yang sangat bercita-cita.


Kita merindukan suara kuasa yang waras dan insani; suara pembimbing yang ikhlas dan mengerti. Kita tidak memerlukan suara angkuh dalam era yang sudah terlalu lama sombong ini. Kita mengharapkan tangan kuasa yang berhemah, sedia memimpin dan berdamai, turut bantu mencipta iklim demokrasi yang harum.


Memanglah kita mengkhayalkan dunia indah itu, walaupun kenyataan yang terserlah dan mengembang kini sedang menunjukkan di atas kepala kita sentiasa sedia terapung awan kelam yang menjanjikan tofan.


Jikalau berlaku, kita bukanlah kelompok manusia yang gamam berlari; kita, sebaliknya, adalah manusia yang cekal berdiri. Kita ingin memupuk demokrasi yang lebih berhati nurani.


Dua ratus tahun dulu seorang tokoh kecil Sam Adams, dengan kelompoknya yang kecil juga, telah mencurahkan teh ke dalam laut di pelabuhan Boston, Amerika. Kata Sam Adams: “It does not require a majority to prevail, but rather an irate, tireless minority keen to set bushfires in people’s minds.”


Kita nyalakan unggun api itu pada malam ini!”


(Perhatian: Kerana dibataskan masa hanya seminit seorang, maka saya yang mewakili GMP, hanya sempat membacakan dua perenggan terakhir teks ucapan ini.—A. SAMAD SAID).




Unggun Bersih


Semakin lara kita didera bara—
kita laungkan juga pesan merdeka:
Demokrasi sebenderang mentari
sehasrat hajat semurni harga diri.


Lama resah kita—demokrasi luka;
lama duka kita—demokrasi lara.
Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi;
suara bebas yang utuh, kita idami!


Dua abad lalu Sam Adams berseru:
(di Boston dijirus teh ke laut biru):
Tak diperlu gempita sorak yang gebu,
diperlu hanya unggun api yang syahdu.


Kini menyalalah unggun sakti itu;
kini merebaklah nyala unggun itu.


24—25, 6.11. A. SAMAD SAID


Dipetik daripada azmieyusoff.blogspot.com